RISALLAH NABI MUHAMAD SAW
“ Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik
bertawaf di Ka ’bah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf,
sambil berzikir: “Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah s.a.w. menirunya
membaca “Ya Karim! Ya Karim!” Orang itu lalu berhenti di salah satu
sudut Ka ’bah, dan berzikir lagi: “ Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah
s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya “Ya Karim! Ya
Karim!”
Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan
terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan yang belum
pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata: “Wahai orang tampan! Apakah
engkau memang sengaja memperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang
Arab badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti
engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah. ”
Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum, lalu bertanya:
“Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab ?” “Belum,”jawab
orang itu. “Jadi bagaimana kau beriman kepadanya ?” “Saya percaya dengan
mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan
membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya,
” kata orang Arab badwi itu pula.
Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya:
“Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu
nanti di akhirat !” Melihat Nabi dihadapannya, dia tercengang, seperti
tidak percaya kepada dirinya. “Tuan ini Nabi Muhammad?!” “Ya” jawab Nabi
s.a.w. Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w.
Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w.menarik tubuh orang Arab itu, seraya
berkata kepadanya: “Wahai orang Arab! janganlah berbuat serupa itu.
Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada
tuannya, Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang
takabur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa
berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan
bagi yang mengingkarinya.”
Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit dia
berkata: “Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu dan
bersabda:
“ Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan
belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari
Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun
yang besar !” Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi.
Maka orang Arab itu pula berkata:
“ Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat
perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan
dengannya !”kata orang Arab badwi itu. “Apakah yang akan engkau
perhitungkan dengan Tuhan ?” Rasulullah bertanya kepadanya. ‘Jika Tuhan
akan memperhitungkan dosa – dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan
betapa kebesaran maghfirahnya, ’ jawab orang itu. ‘ Jika Dia
memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan
betapa keluasan pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kekikiran
hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawananNya! ’
Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun
menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu,
air mata beliau meleleh membasahi Janggutnya. Lantaran itu Malaikat
Jibril turun lagi seraya berkata: “ Ya Muhammad! Tuhan As-Salam
menyampaikan
salam kepadamu, dan bersabda:
“Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga
Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga la bergoncang.
Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya,
juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampuni
semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti !”
Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut.
la lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya.
Sumber Sirah Nabawiy